Salur Isu di Dewan Debat Bukannya di Warung Kopi

BATU PAHAT, 22 Februari 2003. Guru-guru disarankan agar menyalurkan perdebatan atau perbahasan tentang sesuatu isu di saluran yang disediakan dan bukannya di warung-warung kopi tanpa berkesudahan. Guru-guru juga seharusnya meningkatkan potensi diri dengan mendebatkan isu-isu semasa yang bernas dan berguna demi kepentingan global amnya dan dunia pendidikan itu sendiri khasnya.

Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat Sektor Pengurusan Akademik Tuan Haji Abdul Patah bin Masri berkata demikian dalam Majlis Penutupan Rasmi Bahas Guru-Guru Kementerian Pendidikan Malaysia, Peringkat Akhir Daerah Batu Pahat, Tahun 2003, Kategori Bahasa Melayu sewaktu berucap mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat.

Pada kali ini Perbahasan Guru-Guru Kementerian Pendidikan Malaysia, Peringkat Daerah Batu Pahat dikelolakan oleh Majlis Guru-Guru Besar Daerah Batu Pahat. Johan Perbahasan ialah Gabungan PKG Seri Medan dan PKG Yong Peng iaitu terdiri daripada En. Ahmad Faezul Bin Ismail (SK Seri Sejati), En. Teo Peng Chai (SMK Yong Peng), En. Johari Bin Kassim (SK Seri Bertam), Dan Pembahas Simpanan ialah  En. Zainal Abidin Bin Hassan (SMK Yong Peng), dan En. Ibrahim Bin Marlan (SMK Seri Medan). Pengurus bagi pasukan ini ialah En Abd. Samad Bin Anang (GB SK Seri Bertam) manakala jurulatihnya pula ialah En. Abdul Rahim Bin Nolah (GB SK Seri Medan).

Naib Johan pula dimenangi oleh Pasukan Gabungan PKG Air Hitam Dan PKG Parit Raja yang terdiri daripada En. Teo Liong Chaw (SMK Munshi Sulaiman), Pn. `Izzatul `Ashikin Bt Ibrahim (SMK Tun Aminah), En. Syed Ali Hasani Bin Syed Yasin (SMK Tun Aminah), dan peserta simpanan ialah Pn Rahemah Bt Idris (SK Kota Dalam) dan Pn. Rohaidah Binti Yon (SMK Tun Ismail). Pengurus Pasukan ialah En. Mohammad Zaim Bin Mohammad Sharif (SK Pintas Puding) manakala jurulatihnya ialah En. Abd. Razak Bin Damiri (SK Pintas Puding).
Pembahas Terbaik ialah En. Ahmad Faezul bin Ismail dari SK Seri Sejati yang memenangi gelaran ini untuk kali kedua. Gabungan peserta terbaik daerah akan dibentuk dan dipilih oleh jawatankuasa khas untuk mewakili Daerah Batu Pahat ke peringkat negeri yang akan bermula pada 8 Mac 2003.

Laman Web Perbahasan Guru Batu Pahat